Panduan Cara Solat Sunat Tarawih Bersendirian
Panduan Cara Solat Sunat Tarawih Bersendirian Di Rumah Dan Sebagainya. Hukum menunaikan Solat Tarawih adalah sunat muakkad (yang sangat dituntut) dikerjakan oleh orang-orang Islam lelaki dan perempuan pada tiap-tiap malam bulan Ramadhan, sama ada secara berseorangan atau berjemaah.Waktu Solat Sunat Tarawih ialah selepas menunaikan solat fardu Isyak dan
sunat ba’diah dua rakaat. Pada umumnya masyarakat Islam di Malaysia
mendirikan solat sunat Tarawih sebanyak dua puluh rakaat, tetapi ada juga yang hanya menunaikan sekadar lapan rakaat sahaja.
Rukun solat sunat Tarawih ini samalah dengan rukun solat yang lain juga.
Cara Solat Sunat Tarawih Bersendirian
Sila rujuk soal jawab agama yang dikongsikan dari Laman Soal Jawab Agama untuk cara-cara melakukan solat sunat tarawih secara bersendirian atau berseorangan. Untuk panduan lengkap solat Tarawih dan Witir boleh rujuk di Panduan Solat Tarawih
Soalan; saya ada dua soalan;
- 1 ) Bagaimana nak buat solat tarawih bersendirian?
- 2 ) Adakah selawat selepas setiap 2 rakaat solat tarawih itu perlu dan macamana kalau tidak buat dan cara melakukanya (tidak berselawat)
Jawapan;
1. Solat terawih sama seperti solat-solat sunat yang lain yang biasa kita lakukan, iaitu ditunaikan dua-dua rakaat dengan bermula dari takbir dan diakhiri dengan memberi salam. Ketika hendak solat, niatkan di dalam hati untuk mengerjakan solat terawih atau qiyam Ramadhan, kemudian lakukan solat sebagaimana biasa. Bacaan-bacaan di dalam solat juga sebagaimana yang biasa dibaca dalam solat-solat yang lain. Kesimpulannya, yang berbeza dalam solat terawih ini ialah niatnya sahaja. Adapun rukun-rukun dan sunat-sunat di dalam solat, ia sama seperti dalam solat-solat yang lain. Oleh kerana solat terawih dilakukan dua-dua rakaat, maka setiap dua rakaat hendaklah memberi salam dan kemudian bangun mengerjakan lagi dua rakaat hinggalah sempurna bilangan rakaat yang dikehendaki (lapan, dua puluh atau sebagainya).
2. Adapun berselawat selepas setiap dua rakaat, ia tidaklah wajib dan tidak mencacatkan solat terawih jika tidak melakukannya. Amalan berselawat itu hanya dilakukan sebagai selingan antara dua-dua rakaat solat untuk memberi kerehatan sesuai dengan nama solat itu “Solat Terawih”. Ia bukanlah sabit dari amalan Nabi s.a.w. secara khusus. Jika kita tidak berselawat, kita boleh menggantinya dengan ibadah-ibadah yang lain seperti berzikir, berdoa, membaca al-Quran, bertazkirah dan sebagainya. Dan harus juga kita meneruskan solat tanpa menyelanginya dengan sebarang ibadah yang lain.
Wallahu a’lam.
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
No comments :
Post a Comment