Kronolgi Sejarah Isu Konflik Pelarian Rohingya Di Myanmar

Kronolgi Sejarah Isu Konflik Pelarian Rohingya Di Myanmar. Kami terseksa di negara sendiri. Itu luahan antara pelarian Rohingya yang kini berada di Pulau Langkawi selepas melarikan diri dari Myanmar dan menempuh laluan sukar sebelum mendarat di Malaysia. Usaha Malaysia dan Indonesia untuk menyediakan bantuan kemanusiaan kepada ribuan pelarian etnik Rohingya yang masih berada di perairan antarabangsa sejak beberapa minggu lalu dianggap sebagai satu tindakan yang amat munasabah. 

Sebarang bantuan diyakini akan mampu meringankan kesengsaraan hidup kumpulan pe­larian itu untuk jangka masa pen­dek sebelum jalan penyelesaian yang sesuai ditemui.
Pelarian Rohingya Di Myanmar
Tidak terkecuali yang memberikan bantuan kepada pelarian Rohingya adalah Turki. Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoğlu mengumumkan bahawa kerajaannya akan menghantar kapal tentera laut Turki ke perairan Thailand dan Malaysia dalam usaha menyampaikan bantuan kemanusian kepada para pelarian Muslim Rohingya.
Dalam beberapa minggu terakhir, isu mengenai konflik Rohingya di Myanmar kembali mendapat berita di dada akhbar lantaran ribuan pelarian Rohingya telah melarikan diri melalui jalan laut ke negara-negara jiran termasuk Malaysia dan Indonesia. Berita-berita tentang konflik etnik di Rakhine, salah satu kawasan di Myanmar yang berdekatan dengan Bangladesh ini pun kembali diperkatakan dan menjadi topik hangat di laman media sosial selepas kali terakhir berita mengenai rusuhan etnik tersebut pada tahun 2012 yang lalu. Lebih parahnya, banyak pihak yang mengaitkan permasalahan ini sebagai konflik agama tanpa mengetahui latar belakang masalah yang sebenarnya yang telah berlaku ratusan tahun yang lampau.

Berdasarkan catatan sejarah, komuniti Muslim telah mendiami wilayah Arakan (nama kuno Rakhine) sejak masa pemerintahan seorang raja Buddha bernama Narameikhla atau Min Saw Mun (1430-1434) di kerajaan Mrauk U. Setelah diasingkan selama 24 tahun di kesultanan Bengal, Narameikhla mendapatkan takhta di Arakan dengan bantuan daripada Sultan Bengal saat itu. Kemudian ia membawa serta orang-orang Bengali untuk tinggal di Arakan dan membantu pengurusan pentadbiran beliau; demikianlah komuniti Muslim pertama terbentuk di wilayah itu.


Saat itu kerajaan Mrauk U berstatus sebagai kerajaan bawahan dari kesultanan Bengal sehingga Raja Narameikhla menggunakan gelaran dalam bahasa Arab termasuk dalam nama-nama pegawai istananya dan memakai syiling Bengal yang bertuliskan aksara Arab Parsi pada satu sisinya dan aksara Burma pada sisi lain sebagai mata wangnya. Setelah berjaya melepaskan diri dari kesultanan Bengal, para raja keturunan Narameikhla tetap menggunakan gelaran Arab tersebut dan menganggap diri mereka sebagai sultan serta berpakaian meniru sultan Mughal. Mereka tetap menggaji orang-orang Muslim di istana dan walaupun beragama Buddha, berbagai kebiasaan Muslim dari Bengal tetap dipakai. Pada abad ke-17 penduduk Muslim meningkat kerana mereka bekerja dalam pelbagai bidang kehidupan, tidak hanya dalam pemerintahan saja. Suku Kamein, salah satu etnik Muslim di Rakhine yang diiktiraf kerajaan Myanmar saat ini, adalah keturunan orang-orang Muslim yang berhijrah ke Arakan pada masa ini.


Namun kerukunan dan keharmonian ini tidak berlangsung lama. Pada tahun 1785 kerajaan Burma dari selatan menyerang dan menguasai Arakan; mereka melaksanakan politik diskriminasi dengan mengusir dan mengeksekusi orang-orang Muslim Arakan. Pada tahun 1799 sebanyak 35,000 orang Arakan berpindah ke wilayah Chittagong di Bengal yang saat itu dikuasai Inggeris untuk mencari perlindungan. Orang-orang Arakan tersebut menyebut diri mereka sebagai Rooinga (penduduk asli Arakan), yang kemudian dieja menjadi Rohingya saat ini. Selain itu, kerajaan kerajaan Burma ketika itu juga memindahkan sejumlah besar penduduk Arakan ke daerah Burma tengah sehingga membuat penduduk wilayah Arakan sangat sedikit ketika Inggeris menguasainya.


Pada tahun 1826 wilayah Arakan diduduki oleh kerajaan kolonial Inggeris selepas perang Inggeris-Burma I (1824-1826). Kerajaan Inggeris melaksanakan dasar memindahkan para petani dari wilayah yang berdekatan ke Arakan yang saat itu sudah ditinggalkan, termasuk orang-orang Rohingya yang sebelumnya menjadi pelarian dan orang-orang Bengali asli dari Chittagong. Saat itu wilayah Arakan dimasukkan dalam daerah pentadbiran Bengal sehingga tidak ada batas antarabangsa antara keduanya dan penghijrahan penduduk di kedua-dua wilayah itu berlaku dengan mudah.


Pada awal abad ke-19 gelombang imigresen dari Bengal ke Arakan semakin meningkat kerana didorong oleh keperluan akan upah pekerja yang lebih murah yang didatangkan dari India ke Burma. Seiring waktu jumlah populasi para pendatang lebih banyak daripada penduduk asal sehingga tak jarang menimbulkan ketegangan etnik. Pada tahun 1939 konflik di Arakan memuncak sehingga kerajaan Inggeris membentuk suruhanjaya khas yang menyiasat masalah imigresen di Arakan, namun sebelum suruhanjaya tersebut dapat merealisasikan hasil kerjanya, Inggeris harus angkat kaki dari Arakan pada akhir Perang Dunia II.


Pada masa Perang Dunia II Jepun menyerang Burma dan mengusir Inggeris dari Arakan yang kemudian dikenali sebagai Rakhine. Pada masa kekosongan kekuasaan saat itu, kekerasan antara kedua kumpulan suku Rakhine yang beragama Buddha dan suku Rohingya yang beragama Islam semakin meningkat. Ditambah lagi, orang-orang Rohingya bersenjatakan oleh Inggeris guna membantu Bersekutu untuk mempertahankan wilayah Arakan dari pendudukan Jepun. Hal ini akhirnya diketahui oleh kerajaan Jepun yang kemudian melakukan penyiksaan, pembunuhan dan pemerkosaan terhadap orang-orang Rohingya. Selama masa ini, puluhan ribu orang Rohingya keluar dari Arakan menuju Bengal. Kekerasan yang berlarutan juga memaksa ribuan orang Burma, India dan Inggeris yang berada di Arakan keluar semasa zaman ini.


Pada tahun 1940-an orang-orang Rohingya berusaha menjalin kerjasama dengan Pakistan di bawah Mohammad Ali Jinnah untuk membebaskan wilayahnya dari Burma, tetapi ditolak oleh pemimpin Pakistan tersebut kerana tidak mahu mencampuri urusan dalaman negeri Burma. Pada tahun 1947 orang-orang Rohingya membentuk Parti Mujahid yang merupakan kumpulan jihad untuk menubuhkan negara Islam yang merdeka di Arakan utara. Mereka menggunakan istilah Rohingya sebagai identiti etnik mereka dan menyatakan diri sebagai penduduk asal Arakan. Kemudian Burma merdeka pada tahun 1948 dan orang-orang Rohingya semakin gencar melancarkan gerakan separatisnya.
Pada tahun 1962 Jeneral Ne Win melakukan rampasan kuasa dan mengambil alih pemerintahan Myanmar. Ia melakukan operasi ketenteraan untuk meredam aksi pemisah Rohingya. 


Salah satu operasi ketenteraan yang dilancarkan pada tahun 1978 yang dipanggil "Operasi Raja Naga" menyebabkan lebih daripada 200,000 orang Rohingya melarikan diri ke Bangladesh akibat keganasan, pembunuhan dan rogol besar-besaran. Kerajaan Bangladesh menyatakan bantahan atas kemasukan gelombang pelarian Rohingya ini. Pada bulan Julai 1978 setelah diselesaikan oleh PBB, kerajaan Myanmar bersetuju untuk menerima para pendatang Rohingya untuk kembali ke Rakhine. Pada tahun 1982 kerajaan Bangladesh mengamademen undang-undang kerakyatan mereka dan menyatakan Rohingya bukan warga negara Bangladesh.

Sejak tahun 1990 hingga saat ini, kerajaan junta tentera Myanmar masih menerapkan politik diskriminasi terhadap suku-suku minoriti di Myanmar, termasuk Rohingya, Kokang dan Panthay. Para pelarian Rohingya melaporkan mereka mengalami kekerasan dan diskriminasi oleh kerajaan seperti bekerja tanpa digaji dalam projek-projek kerajaan dan pelanggaran hak asasi manusia lain.


Pada tahun 2012 rusuhan perkauman pecah antara suku Rakhine dan Rohingya yang dicetuskan oleh rogol dan pembunuhan seorang gadis Rakhine oleh para pemuda Rohingya yang disusul pembunuhan sepuluh orang pemuda Muslim dalam sebuah bas oleh orang-orang Rakhine. Menurut kerajaan Myanmar, akibat kekerasan tersebut, 78 orang terbunuh, 87 orang luka-luka, dan lebih daripada 140,000 orang terlantar dari kedua-dua belah pihak baik suku Rakhine dan Rohingya. Kerajaan melaksanakan jam malam dan keadaan darurat yang membolehkan pihak tentera bertindak di Rakhine. Walaupun para aktivitis NGO Rohingya menuduh bahawa pihak polis dan kekuatan tentera turut berperanan serta dalam kekerasan dan menangkap orang-orang Rohingya, tetapi siasatan oleh pertubuhan International Crisis Group melaporkan bahawa kedua-dua pihak mendapat perlindungan dan keselamatan dari pihak tentera.


Pada tahun 2014 kerajaan Myanmar melarang penggunaan istilah Rohingya dan mendaftarkan orang-orang Rohingya sebagai orang Bengali dalam bancian penduduk pada masa itu. Pada bulan Mac 2015 yang lalu kerajaan Myanmar mencabut kad pengenalan penduduk bagi orang-orang Rohingya yang menyebabkan mereka kehilangan kewarganegaraannya dan tidak mendapatkan hak-hak politiknya. Ini menyebabkan orang-orang Rohingya melarikan diri ke Thailand, Malaysia dan Indonesia.


Demikianlah sekilas tentang sejarah konflik etnik yang berangkat dari permasalahan sosial politik yang telah berakar selama berabad-abad di wilayah Rakhine. Bagaimana pun, konflik ini hanyalah menyebabkan kesengsaraan pihak-pihak yang bertelagah. Oleh sebab itu, setelah mengetahui akar permasalahan konflik ini, semoga para pemimpin dunia dan pihak-pihak yang bersangkutan dapat memberikan penyelesaian yang terbaik demi keamanan dunia.

SUMBER - Kompasiana

No comments :

No comments :

Post a Comment